Saturday, July 26, 2008

PERTANDINGAN UJI BAKAT



Pertandingan uji bakat ialah sesuatu fenomena yang tidak asing lagi. Hari ini, terdapat banyak pertandingan uji bakat seperti “American Idol” dan “Project Runway” yang berasal dari Amerika yang telah ditayangkan di Singapura. Program ini menjadi kegemaran ramai penduduk Singapura dan di negera-negara lain. Di Singapura, terdapat berbagai-bagai pertandingan uji bakat seperti “Singapore Idol”, “Anugerah” dan “Dancefloor” untuk mencari orang-orang yang berbakat di Singapura. Pertandingan ini menawarkan ganjaran yang lumayan bagi menarik ramai peserta. Kadang-kadang, pemenang pertandingan itu ditentukan oleh panel juri atau oleh orang awam. Pertandingan uji bakat ini mempunyai banyak manfaat tetapi juga kesan-kesan buruk yang akan dihuraikan nanti.

Manfaat pertama adalah dengan mengambil bahagian dalam pertandingan uji bakat, peserta-peserta ini mendapat peluang untuk memenuhi impian mereka. Peserta-peserta yang mengambil bahagian dapat menunjukkan bakat mereka. Walaupun peluang untuk mereka menang sangat tipis, mereka akan berpuas hati mereka telah mencuba. Tanpa pertandingan-pertandingan seperti “American Idol”, Kelly Clarkson dan Carrie Underwood mungkin tidak akan dikenali dan inilah satu kerugian besar kepada industri muzik. Kedua-dua wanita ini dapat berjaya kerana mereka memenangi pertandingan “American Idol” dan diberikan kontrak menyanyi. Dengan ini, mereka juga dapat menjelajah dunia dan menikmati kehidupan mewah yang menjadi keinginan ramai orang.

Dengan perhatian meluas yang dinikmati pertandingan uji bakat, lebih fokus akan diberikan terhadap bidang kesenian. Kini, kerajaan Singapura memberikan banyak fokus terhadap kesenian, terutama selepas Hady Mirza memenangi “Idola Asia. Memenangi sebuah pertandingan sebesar ini akan betul-betul mengharumkan nama Singapura. Selain daripada itu, lebih ramai orang akan lebih mempercayai bahawa mendapat pekerjaan dalam kesenian juga adalah pilihan yang bijak. Pandangan ini belum lagi diterima dan popular pada zaman ini dan mungkin boleh diterima oleh masyarakat pada satu hari nanti.

Pertandingan uji bakat juga boleh menolong memperbaiki kehidupan seseorang. Walaupun bukan semua, namun terdapat segelintir daripada peserta yang menyertai pertandingan uji bakat berjaya mengubah nasib mereka. Sebagai contoh, sebelum Taufik Batisah diberikan gelaran “Singapore Idol”, keluarga Taufik tidak mempunyai banyak wang. Dia tidak mampu membeli sepasang kasut Nike yang berharga lima puluh dolar walaupun harga ini difikirkan murah oleh ramai remaja kini kerana dia tidak mahu membebankan ibunya, seorang ibu tunggal yang membesarkannya sendiri. Setelah memenangi “Singapore Idol”, dia dapat menunjukkan rasa syukurnya kepada ibunya dengan mendedikasikan lagu pertamanya, “Ibu”, kepada ibunya dan wang daripada albumnya telah dapat meringankan beban ibumya. Pertandingan uji bakat juga boleh meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa bersyukur. Ramai orang yang menonton pertandingan-pertandingan ini dan melalui pertandingan uji bakat seperti ini, mereka boleh mendapat infomasi tentang penduduk Afrika dan menderma untuk membantu orang-orang miskin ini. Misalnya, “Idola Amerika” sentiasa meminta derma yang akan diberikan kepada penduduk Afrika yang mungkin tidak mempunyai secukup wang untuk membeli makanan. Pertandingan uji bakat ini dapat dijadikan wadah untuk menyedarkan masyarakat tentang penderitaan dan kesusahan hidup yang dilalui oleh segolongan masyarakat.

Walaupun pertandingan uji bakat mempunyai banyak menfaat, ia mesti diakui bahawa ia juga mempunyai banyak kesan negatif. Terdapat banyak contoh apabila orang biasa yang lupa diri selepas memenuhi impiannya dan pada akhirnya, hidupnya menjadi lebih buruk daripada sebelum menjadi terkenal. Ada juga seperti kacang melupakan kulit. Mereka melupakan keluarga dan dia melalui hidup tidak bermoral seperti berfoya-foya parti-parti setiap hari dan melakukan perbuatan haram seperti minum arak dan sebagainya. Mereka mungkin tidak akan sebegitu jika mereka tidak menyertai pertandingan tersebut mereka dan didedahkan kepada kehidupan mewah dunia selebriti yang penuh pencaroba. Kadang-kadang, ibu bapa yang mempergunakan anak-anak mereka yang berbakat untuk mendapat banyak wang. Kanak-kanak ini akan terdedah kepada semua pengaruh buruk ini pada usia yang muda apabila mereka tidak pasti apa yang baik dan buruk untuknya. Akhirnya, mereka hilang pedoman membinasakan kehidupan mereka sendiri. Misalnya, Britney Spears dan Lindsay Lohan memasuki industri muzik pada usia yang muda. Sekarang, mereka mempunyai banyak masalah kerana hidup mereka sering menjadi perhatiandan mereka tidak dapat menjalani hidup seperti orang biasa. Walau bagaimanapun, ia juga boleh dikatakan bahawa Justin Timberlake adalah contoh bahawa memasuki industri muzik apabila masih muda tidak akan merubuhkan hidup orang itu. Justin Timberlake tidak mempunyai penagihan dadah atau arak dan saya belum membaca sebuah artikel yang bercakap tentang masalah Justin Timberlake. Pertandingan uji bakat juga boleh menjatuhkan keyakinan diri seseorang. Terdapat peserta yang benar-benar berfikir mereka berbakat dan berasa sungguh terkejut apabila mereka mendapat komen negatif. Bagi kebanyakan daripada mereka, impian mereka telah hancur dan peserta-peserta ini, pada umumnya, akan menjadi marah atau sedih.

Kamera selalu suka menunjukkan reaksi-reaksi mereka yang kelihatan terkejut dan menangis kerana reaksi-reaksi ini kelakar dan sungguh menarik kepada ramai. Jadi, lebih ramai orang akan menonton pertandingan uji bakat mereka. Ini menimbulkan soalan sama ada pertandingan uji bakat adalah untuk menolong seseorang itu memenuhi impian mereka atau untuk meaih keuntungan bagi pihak penganjur. Orang-orang yang mempunyai keyakinan diri yang rendah selepas diberikan komen negatif boleh mengalami banyak masalah seperti dihina oleh kawan-kawan mereka atau menyebabkan kemurungan.

Pada keseluruhannya, saya masih berfikir pertandingan uji bakat mempunyai lebih manfaat daripada kesan negatif. Pertandingan uji bakat menolong memenuhi impian seseorang yang ramai orang akan bersetuju adalah sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Pertandingan uji bakat juga selalunya menarik dan boleh dianggap sebagai sumber hiburan yang mengayikkan untuk ramai penonton.

No comments: